Thursday, 23 January 2014

Suamiku Tak Romantik Tapi Autistik Bab 5


Bab 5

“Selamat pagi,Kak Jah…Peace upon you..”Ucap Nura Alia ceria.Dengan selambanya dia mencapai getah paip dari tangan Kak Jah.Seperti biasa dia akan menyibuk mengganggu Kak Jah pagi-pagi begini sebelum mulakan tugasnya sebagai babysitter kepada mamat tak cukup seringgit a.k.a Boboy.

“Eh,Nura ni tak payahlah siram pokok-pokok ni.Ni kan kerja Kak Jah.”Kak Jah merampas semula getah paip dari tangan Nura Alia.Nura Alia menerbitkan muncung itiknya.

“Orang nak tolong pun tak kasi akak ni.Erm..mamat tak…Eh,bukan-bukan..Maksud saya Boboy mana,Kak Jah?Tak bangun lagi ke?”Hampir terlepas panggilan ‘manjanya’ pada Boboy tadi.Hari ini genaplah sebulan Nura Alia bekerja di sini.Masih tiada banyak perubahan.Boboy tetap sukar untuk diajak berbual.Apabila menggunakan umpan Ah Chan baru lelaki itu akan tergerak untuk bercakap dengannya.

“Tidur lagilah tu.Nura pergilah kejutkan dia.Datin dah kejutkan tadi tapi liat pulak Boboy nak bangun hari ni.Kak Jah pun dah banyak kali pergi kejutkan dia tadi.Tapi tetap tak nak bangun.Penat sangat kot.”Cerita Kak Jah sambil melangkah pergi menutup kepala paip.Nura Alia menganggukkan kepala.

“Kalau macam tu biar saya pergi cuba kejutkan dia pulak ya,kak.Datin dengan datuk mana,kak?”Tanya Nura Alia ingin tahu.

“Diorang pergi kenduri kat kampung keluarga sebelah Datuk Azman.Dalam petang nanti diorang baliklah kot.Nura nak minum air apa?Biar akak buatkan.”Bagus betul layanan yang diterima oleh Nura Alia di sini.Dia dianggap seperti ahli keluarga di rumah besar ini.

“Err..macam biasalah,kak.Terima kasih.Saya pergi kejutkan Boboy dulu ya.”Nura Alia berlari-anak anak masuk ke dalam rumah.Dia mendaki anak tangga menuju ke bilik Boboy.Ini kali ke-2 dia melangkahkan kakinya ke bilik lelaki itu.Pertama kali masuk ke dalam bilik Boboy,Nura Alia hanya mampu menganga mulut.Bilik Boboy 2 kali ganda lebih besar biliknya.Fuhh!Cantik,luas dan kemas betul bilik lelaki itu.Nura Alia mengetuk-ngetuk pintu beberapa kali.Dia memulas tombol pintu.

“Boboy…Boboy…akak masuk ya…”Nura Alia menguak daun pintu.Senyuman terukir saat terpandangkan tubuh Boboy yang mengerekot menahan suhu sejuk dari penghawa dingin.Tiba-tiba idea nakal terbit di kepala otak Nura Alia.Terjengket-jengket dia melangkah ke katil Boboy.

“Fuhh…fuhh….fuhh…”Nura Alia menghembus lembut ke muka lelaki yang sedang lena tidur itu.Langsung tidak bereaksi.Tidur mata kot.Melihatkan Boboy masih tidak bergerak,Nura Alia mencari sesuatu di dalam beg sandangnya.‘Hah,ada pun.Yes!’Dengan berhati-hati Nura Alia menconteng muka Boboy dengan pelembap bibirnya.Nura Alia menahan tawa.Lucu memang lucu.Berkerut-kerut muka lelaki itu menahan geli.

“Janganlah…”Boboy akhirnya bersuara dengan suara paraunya.Matanya masih terpejam rapat.Nura Alia berhenti menconteng.Selang beberapa minit kemudian,dia menyambung menconteng kembali.

Conteng..conteng…conteng…

Zapp!!Tiba-tiba tangannya ditarik oleh Boboy.Dia tersungkur jatuh di atas dada bidang lelaki itu.Saat itu Nura Alia hanya mampu menutup matanya rapat-rapat.Dia tidak berani lagi hendak berfikir apa-apa tatkala tangan Boboy merangkul pula pinggangnya.Nura Alia mengeras seperti batu.Jantungnya berdegup sakan.Dia mula terbayangkan perbuatan Syed Azmi itu.Dia cuba melepaskan diri.Ternyata rangkulan lelaki itu sangat kemas.

Nura Alia akhirnya dapat menarik nafas lega apabila tidak berapa lama kemudian Boboy dengan perlahan-lahan melepaskan pegangannya dan berpaling memeluk bantal.

“Bodoh!Gatal!Miang!!!”Barulah dia rasa boleh bernafas.Nura Alia merapi-rapikan semula pakaiannya.Dia menyumpah-nyumpah Boboy.‘Siaplah kau,Boboy.Oo..nak ambil kesempatan ya.Nanti kau!’Tanpa berfikir panjang lagi,Nura Alia menggoncang-gongcangkan tubuh Boboy.

“Hoi!!Bangunlah,hoi!!Bangunnnn!!”Cubitan hinggap di peha kanan Boboy.Boboy masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bangun.Nura Alia beralih ke bahagian kaki pula.

“Hik…hik…gelilah..janganlah geletek..hiii…hiii…”Geletekan Nura Alia bertambah laju.Kerana tidak tahan digeletek,Boboy akhirnya bangun dari tidurnya.Dengan wajah blurr,dia memandang gadis di hadapannya itu tanpa berkelip.

“Pergi mandi sekarang!!Akak dengan Ah Chan tunggu Boboy kat bawah.Tak nak lewat.Tepat pada jam 9 pagi,akak nak Boboy dah terpacak kat pondok sana.Ada faham?!”Arah Nura Alia tanpa belas kasihan.Lelaki itu pula hanya mengangguk menurut.Dalam keadaan yang separuh sedar itu,Boboy meloncat turun dari katil.Dia laju menuju ke bilik air.

“Hah,kenapa pulak keluar?Dah siap ke mandi?”Tanya Nura Alia apabila Boboy keluar semula dari bilik mandi.

“Kita lupa ambil tuala kita.”Jawab Boboy takut-takut.Tanpa berani memandang muka Nura Alia yang sudah garang menyinga itu,Boboy cepat-cepat mencapai tuala di penyidai lalu laju melangkah masuk ke dalam bilik mandi semula.

“Huh,itu pun nak takut.Ni baru sikit aura Nura Alia dikeluarkan tau..Nanti silap-silap hari bulan terkencinglah kau sebab takut dengan aku ni.Hehehe…”Dengan langkah gembira Nura Alia menapak keluar dari bilik itu bersama-sama dengan anak patung Sin Chan Boboy.

Mungkin ada sesuatu wayar yang sudah terputus dalam kepala otaknya kerana dia langsung tidak terfikir lagi mengenai kejadian `miang+gatal` itu tadi.Kejadian itu berlalu begitu sahaja.

********************

“Susah-susah aje kak Jah ni.”Nura Alia menyambut dulang yang dibawa oleh Kak Jah itu.Ada nasi goreng,keropok dan air milo.

“Ni untuk sarapan Boboy,Nura.Air milo ni untuk Nura satu,untuk Boboy satu.Boboy makan kenyang-kenyang ya?”Kak Jah tersenyum melihat Boboy yang sedang leka menulis sesuatu di buku itu.Entah apa yang ditulisnya.Nampak macam ada banyak nombor.

“Erm..akak masuk dululah.Nak pergi sidai kain pulak.Kalau ada apa-apa,panggillah Kak Jah nanti ya?”Nura Alia menganggukkan kepala.Setelah kelibat Kak Jah tidak kelihatan,dengan lahapnya Nura Alia makan nasi goreng kampung itu.Terkulat-kulat Boboy memandangnya.

“Apa tengok-tengok?Buat kerja tu sampai siap.Siapa suruh lewat tadi?Orang cakap pukul 9 tepat,dia datang pukul 10 pulak.Tulah,lain kali jangan mandi lama-lama sangat.Aku pun tak mandi lama macam tu tau.”Bebelan Nura Alia didengar sepi oleh Boboy.Dia tertunduk sedih.

“Nak ke nasi goreng ni?”Tanya Nura Alia sambil-lewa.Boboy lambat-lambat mengangguk.Mukanya dah macam mahu menangis.

“Betul satu soalan,akak bagi Boboy 2 sudu nasi.Betul dua soalan,akak bagi Boboy 4 sudu nasi dan seterusnyalah…”Nura Alia merampas buku Matematik Tahun 1 dari tangan Boboy.Nura Alia tersenyum sinis melihat hasil kerja Boboy.‘Bijak jugak budak ni.Dah buat kat tajuk darab.Bagus.Maknanya dia ni taklah bodoh mana pun.’Nura Alia tercari-cari soalan susah.Dia ingin mengenakan Boboy.Biar tak boleh makan lelaki tu nanti.

Inilah formula terbarunya.P&P.Proses Pembelajaran.Harap-harap dengan mengajar Boboy subjek-subjek teras ini,dapatlah Boboy itu mengisi masanya dengan perkara yang berfaedah.Taklah kerjanya tengok tv saja.

“Soalan satu..Erm..”Nura Alia bersiap sedia dengan kalkulatornya.Dia memang tak khatam benar kalau bab-bab mendarab ni.Al-maklumlah,subjek Matematik bukanlah subjek kegemarannya sejak azali lagi.Buta nomborlah katakan.

“5 darab 4..hah berapa?”

“20.”Nura Alia terkedu dengan jawapan pantas Boboy.‘Bagi yang susah sikit,Lia.’Desis Nura Alia,memotivasikan dirinya sendiri.

“Erm..24 darab….”Nura Alia menekan butang kalkulator.

“24 darab 7?”

“168!”Nura Alia terkedu lagi.Dia sendiri belum sempat menekan butang ‘=’ tadi.Nura Alia buat-buat selamba.Dengan berat hati dia menyuap Boboy dengan 4 sudu nasi goreng.Cuak memang cuak.

“Tanyalah lagi,kakak.”Boboy sudah teruja dengan permainan ini.Nura Alia mencebik bibir.Dia membelek-belek lagi buku latihan itu.Dicarinya soalan yang paling susah untuk Boboy.

“Hah,yang ni..Erm…Kejap-kejap…”Sebagai langkah berjaga-jaga,Nura Alia melihat dahulu skema jawapan di belakang.Boboy hanya menunggu tanpa banyak kata.

“Okey..soalannya…Err..Liza ada 5 adik-beradik.Ada Lijah,Limah,Leha dan Laila.Faham setakat tu?”Boboy me-loading informasi soalan.Dia mengangguk faham.Nura Alia sudah tergelak kecil.Manalah ada soalan macam tu.Sengaja direka olehnya.

“Soalan akak..Lijah yang pertama.Limah yang ke-2.Leha yang ke-3 dan Laila yang ke-4.Siapa yang ke-5?Hah,jawab!Kalau Boboy betul soalan ni,akak bagi Boboy semua nasi goreng ni dan gula-gula ni.”Nura Alia memasang umpan.Wajah konfius Boboy jelas kelihatan.Sah-sah dia tak tahu apa maksud soalan Nura Alia tadi.

“Cepat….masa berjalan…”Nura Alia yakin Boboy pasti tidak akan dapat menjawabnya.

Masa terus berlalu.

“Hah,kita tahu..kita tahu..”Boboy sudah melonjak-lonjak riang.Dia menepuk-nepuk tangannya.

“Apa jawapan Boboy?”Seram jugak Nura Alia tengok Boboy macam ni.Macam orang tak betul saja.

“Jawapannya…Lijah…Limah…Leha…Laila….Li….za..Kan,kan?”Nura Alia menelan liur kelat.‘Hish!Macam mana dia boleh tahu ek?Bijak betul mamat tak cukup seringgit ni.Ya ke dia ni autistik?’Tanpa dipinta,Boboy memakan nasi goreng itu semahunya.Wajahnya begitu polos.Nura Alia mencatat sesuatu di diarinya.

MISI JAHAT:GAGAL!!benci..benci..benci!!

~Persoalannya,kenapa mamat tu dapat jawab soalan aku tadi?Pelik memang pelik.

********************

“Baru balik,Lia?Macam mana kerja hari ni?”Tanya Puan Aminah.Nura Alia menunjukkan isyarat ‘thumbs down’ kepada ibunya.Dia tercari-cari ais di dalam peti sejuk.Dahaga betul tekaknya.

“Pulak.Kenapa KO pulak,Lia?Budak yang Lia jaga tu nakal sangat ke?Mesti anak ibu tak boleh tahan kan.Tulah ibu suruh tolong ayah kat kedai runcit tu tak nak.Nak kerja jadi pengasuh konon.Macamlah awak tu pandai sangat jaga budak.”Panjang pula bebelan Puan Aminah.Nura Alia hanya menadah telinga.Masuk telinga kiri,keluar telinga kanan.

“Tak apalah,bu.Anggaplah kerja ni satu proses untuk Lia menjadi seorang ibu yang berjaya satu hari nanti.Berjaya macam ibu.”Nura Alia menjawabnya loyar buruk.Puan Aminah mengeluh.Tahu sangatlah modal anak daranya tu.Tak pernah nak serius dengan kata-katanya.

“Ibu,Lia naik mandi dululah.Lepas ni kena pergi kerja lagi.”Itulah rutin hariannya sekarang.Berulang-alik pagi dan petang.Kalau rajin,Nura Alia akan balik pada waktu tengah hari.Balik makan,balik mandi-mandi.

Nura Alia bersyukur kerana ibu dan abahnya memberi keizinan mereka untuk melepaskan dia bekerja di rumah agam itu.Tapi seperti biasa,kebohongan pasti akan

mencelah.Nura Alia memang mengaku dia bekerja sebagai pengasuh di rumah besar itu tapi ibu dan abahnya mati-mati ingat budak yang dijaga olehnya itu berusia dalam 4-5 tahun.IQ Boboy memang macam budak-budak tapi hakikatnya dia sudah layak menjadi bapa budak.

“Lia,ni ibu ada buatkan agar-agar lebih ni.Nanti Lia bolehlah bawa agar-agar ni untuk diberi pada budak tu ya.Ibu memang dah niat nak sedekah kat budak tu hari ni.”Puan Aminah kelihatan sibuk meletakkan agar-agar merah ke dalam bekas.Nura Alia hanya mengangguk faham.‘Hish,kan best kalau aku dapat ponteng kerja hari ni.Dah muak aku tengok muka si Boboy tu.’Bebel Nura Alia dalam hati.Dia melangkah keluar dari ruang dapur dengan langkah longlai.

*********************

“Boboy!!!”Jerit Nura Alia lantang.Dia bercekak pinggang.Merah padam mukanya menahan marah.

“Bukak cerita tu balik.Bak sini remote tu!!”Kebengangan sentiasa menyelubungi hati gadis itu apabila menonton tv bersama dengan Boboy.Lelaki itu sentiasa suka alih-alih siaran.Tahulah tv tu dia yang punya.

“Kita tak suka tengok cerita ni.”Luah Boboy kesedihan.

“Bagilah akak tengok cerita ni dulu.Minggu lepas akak miss tau Melodi ni.”Rancangan Melodi memang rancangan hiburan favouritenya.Nasib baik ada siaran ulangan pada waktu petang Rabu ini.Kalau tak pasti jenuh dia mencarinya di Youtube.

“Sinilah..”Boboy menyembunyikan remote tv di belakangnya.Dia menggeleng tak nak.Nura Alia takkan mengalah.

“Akak kata bagikan..Sini!!”Dia mencubit peha Boboy kuat.Tak cukup dengan itu dia menggeletek Boboy di pinggang.Boboy sudah ketawa terbahak-bahak.Dengan sendirinya dia memberi remote itu kepada Nura Alia.

“Assalamualaikum….”Ucap Datuk Azman di muka pintu.Dia melemparkan wajah gembira.Datin Maizura di sebelah juga turut tersenyum gembira.Dari luar lagi mereka sudah terdengar hilai-tawa Boboy tadi.

“Nura belum balik lagi ke?Dah petang ni.”Datuk Azman bertanya seraya duduk bersandar di sofa.Mungkin kepenatan memandu tadi.

“Nak baliklah ni,uncle.Boboy ni tak kasi Nura balik.”Selamba saja jawapan Nura Alia.Boboy langsung tidak mengendahkan keadaan sekeliling.Hanyut dengan cerita Upin dan Ipinnya.

Datin Maizura muncul dari dapur dengan membawa minuman dan kuih.

“Agar-agar ni Nura ke yang bawa?Sedap.Pandai Nura buat.”Puji Datin Maizura ikhlas.Datuk Azman yang melihat agar-agar yang merah menyala itu,cepat-cepat mencuba.Memang sedap.

“Terima kasih,aunty.Bukan saya yang buat.Ibu yang buat.”Ucap Nura Alia jujur.

“Boboy tak suka makan agar-agar.Uncle suka.”Datuk Azman terus menyuap agar-agar itu ke dalam mulutnya.Datin Maizura menggeleng melihat gelagat suaminya itu.Macam budak-budak.

“Erm..apa kata Nura tidur aje kat rumah ni malam ni.Sekali-sekala tidur kat rumah aunty ni apa salahnya kan.Lagipun dah nak Maghrib ni.Tak eloklah balik lewat-lewat macam ni.”Nura Alia tersenyum kelat.Dia berfikir sejenak.‘Tidur ajelah,Lia.Bolehlah kau skodeng aktiviti mamat tak cukup seringgit tu nanti.’Nura Alia akhirnya menganggukkan kepala setuju.

“Tapi,boleh tak aunty call abah saya beritahu yang saya tidur kat rumah aunty malam ni?Saya takut abah tak percaya nanti.Nanti dia ingat saya keluar malam pulak.”Tiba-tiba Datuk Azman mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Bagi uncle nombor telefon abah Nura.Biar uncle yang bagitahu.”Betapa baiknya keluarga ini melayannya.Semua yang Nura Alia minta,semua akan ditunaikan oleh kedua-dua makhluk Allah ni.‘Agak-agaknya kalau aku minta semua harta diorang aku rasa diorang pasti akan bagi kat aku.Tapi,sabar dulu,Lia.Belum masanya lagi kau kikis harta diorang.Kau masih ada satu lagi misi penting.Misi yang membuatkan kau layak sepenuhnya untuk memiliki harta keluarga ni khususnya harta Boboy tu.’Hanya itu yang sentiasa berada di benaknya kini.Misi,misi dan misi.Semuanya kerana perasaan dendamnya pada lelaki yang bernama Syed Azmi itu.

********************

“Sunyi pulak tak ada Lia malam ni kan,bang?Biasanya mulut dialah paling kuat pot pet-pot pet.”Ujar Puan Aminah seraya menjeling ke arah suaminya.

“Alah awak ni.Macam tak biasa pulak si Lia tu tak ada kat rumah.Dulukan dia selalu keluar malam.Sampai saya nasihat pun dia tak nak dengar.”Bidas Encik Razak dalam nada sedikit sinis.

“Tu dulu,bang.Sekarangkan dia dah insaf.Dah tak keluar malam lagi.Keluar rumah pun sebab pergi kerja.Saya bersyukur sangat sebab Allah mendengar doa saya selama ni,bang.”Sayu sekali bunyinya kata-kata Puan Aminah itu.

“Abang pun bersyukur,Nah.Abang tak boleh bayangkan kalau anak kita tu buat perkara yang tak elok belakang kita.Mungkin abang takkan dapat maafkan dia.”Luah Encik Razak.Puan Aminah hanya mengiyakan kata-kata suaminya itu.

“Baik betul layanan majikan Lia tu kan,bang.Sayang betul diorang kat Lia tu.Lia cakap dengan saya,majikan dia tu siap nak offer dia driver lagi untuk berulang-alik.Terharu saya mendengarnya.”Encik Razak yang sedari menulis tiba-tiba berhenti.Dia memandang isterinya dengan pandangan tidak percaya.

“Betul…Lia sendiri yang bagitahu saya sendiri hari tu.Dia cakap datuk dengan datin beria-ia offer dia driver tu.Kemudahan katanya.”Terang Puan Aminah.

“Hish,tak payahlah cakap kat Lia tu.Jangan nak mengada.Naik aje motor tu.Jangan nak berlebih-lebih.Takut nanti tak terbayar pulak budi datuk dengan datin tu.Nah,cakap dengan Lia ya?Jangan terima driver tu.Cakap abang tak kasi.”Tegas arahan yang dikeluarkan oleh Encik Razak.Dia tidak ingin orang di sekeliling mengata.Mulut orang ni sukar nak ditutup.Mereka akan bercakap apa yang mereka nampak.Sedangkan apa yang mereka nampak tak semestinya betul dengan keadaan yang sebenarnya.

“Baiklah,bang.Nanti saya bagitahu Lia.”Puan Aminah menurut perintah.Faham benar dia dengan sikap suaminya itu.Pantang menerima budi orang.Pantang juga kalau ahli keluarganya menjadi buah mulut orang sekeliling.

********************

“Assalamualaikumwarahmatullah…Assalamualaikumwarahmatullah…”Selesailah sudah solat Maghrib berjemaah di vila keluarga Datuk

Azman.Makmumnya;Boboy,Datin Maizura,Kak Jah dan tidak terkecuali Nura Alia.

Usai mengaminkan doa dan bersalaman,Datuk Azman menyampaikan sebuah takzirah pendek.

“Alhamdulillah..Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama hari ini.Malam kita nak tahu serba-sedikit

mengenai sifat seorang pendendam…”Nura Alia sudah terkedu.Tajuk yang amat kena dengan jiwanya saat ini.

Datuk Azman membelek helaian buku.

“Pengertian dendam itu ialah bila hati anda merasa sangat berat terhadap seseorang,seperti membencinya,menjauhi diri darinya dan sifat itu akan kekal bersemadi di dalam hati anda dan sentiasa hidup di situ…”

“Maksudnya seorang pendendam itu akan selalu merasa tidak tenang dan selalu ada perasaan marah dalam hatinya.Perasaan hasad dengki akan selalu ada dalam hati dia.Dia takkan kisah lagi tentang orang di sekitarnya.Yang penting,dendam terlaksana…”Nura Alia berasa ucapan Datuk Azman itu betul-betul seperti sebiji batu besar yang menghempap tepat ke kepalanya.

“Jadi papa nak baik Boboy,mama,kak Jah dan Nura..tolonglah jangan menyimpan dendam.Kerana dendam ni boleh meruntuhkan kasih sayang sesama kita.Buat apa kita nak menyimpan perasaan seperti itu sedangkan kita tahu yang Allah itu Maha Adil,Maha Mengetahui.Setiap yang buruk walau sekecil zarah pun Allah pasti akan balas.Inikan pula kebaikan yang kita buat.Berserah diri kepada Allah,biar Allah sahaja yang membalasnya…”

Termenung Nura Alia mendengar kata-kata terakhir itu.Biar Allah sahaja yang membalasnya….

*******************

“Tambahlah lagi,Nura.Apasal sikit aje makan tu.Tak suka ke lauk ketam ni?Boboy suka makan ketam.Tengok tu,bang.Dah tak pandang kiri kanan.”Datuk Azman dan Datin Maizura tersengih melihat anak lelakinya itu makan.Cukup berselera.

“Mai,tambahkan lagi nasi Nura tu.Malulah tu nak tambah.Jangan malu-malu,Nura.Buat aje uncle dengan aunty ni macam mak ayah Nura sendiri.”Nura Alia tersenyum kelat.Dia betul-betul terpukul dengan takzirah Datuk Azman tadi.Rasa seperti aura keinsafan wujud di tangkai hatinya.

“Tak apalah,aunty.Saya dah kenyang ni.Lagipun saya tak berapa sangat lauk ketam ni.”Ujar Nura Alia jujur.

“Kalau macam tu,biar aunty pergi masakkan lauk lain untuk Nura ya?Ayam masak kicap okey tak?”Datin Maizura sudah mahu mengangkat punggung.Cepat-cepat Nura Alia menghalangnya.

“Tak apa,aunty.Saya bukan tak boleh makan lauk ketam ni tapi cuma saya betul-betul dah kenyang ni.Seganlah saya macam ni.”Ucap Nura Alia malu-malu.Rasa mahu menangis pun ada.Hiba.Rasa macam tak layak pula dia menerima layanan seperti ini.

“Kalau Nura dah kata macam tu tak apalah.Nanti aunty buatkan pencuci mulut untuk Nura ya..Boboy nak pencuci mulut aiskrim tak?”Tanya Datin Maizura kepada Boboy yang sedari tadi ralit dengan ketam-ketamnya itu.

“Nak!!!Nak dua.”Jawab Boboy girang.Nura Alia pula sudah menangis di dalam hati.Rasanya tidak sanggup lagi dia hendak meneruskan agenda balas dendamnya ini.`Ya Allah,biarlah aku redha dengan ini semua.Redha dengan perbuatan Syed Azmi kepada ku itu.Janganlah aku terus menyimpan perasaan dendam ini,ya Allah.’Doa Nura Alia seikhlas hatinya.

9 comments: